IQNA

Beza antara sistem Islam dan bukan Islam

12:59 - February 10, 2022
Berita ID: 3100751
TEHRAN (IQNA) - Islam adalah jalan pertengahan di antara sistem yang melampau menekan dengan sistem yang terlalu longgar.

RASA tertarik dengan perbahasan berkenaan sistem perbankan Islam dan konvensional. Cumanya, aku bukanlah pakar yang membentangkan kertas kerja. Hanya tumpang bersembang, berkongsi apa yang pernah diajar atau dibaca dahulu berkenaan isu ini. Agak sedih bila mana ada yang begitu jelas jahil mereka, membandingkan sistem yang ada ini dengan bermacam-macam gelaran dan misalan.

Islam adalah jalan pertengahan di antara sistem yang melampau menekan dengan sistem yang terlalu longgar. Contohnya sistem kapitalis pada dasarnya membuka ruang terlalu luas bagi peniaga menjalankan perniagaan mereka. Cara keuntungan dijana, mengikut hawa nafsu mereka, boleh jual apa sahaja. Apa yang penting ialah laba. Manakala sistem Komunis atau Sosialis pula pada asal ideologi ini dicipta, terlalu ketat dengan peraturan.

Asasnya terlalu ingin membantu. Mudah cakap, konon bagi kesamarataan. Namun banyak kes yang berlaku, pimpinan mereka juga gagal mengawal kehendak nafsu mereka. Maka terjadilah penyelewengan di belakang. Bagi memaksa rakyat menerima ideologi mereka, mereka sanggup membunuh jutaan nyawa. Lenin, Mao Zedong adalah contoh klasik. Hanya sahaja kini ideologi ini dilihat longgar dengan negara-negara itu, memiliki ramai hartawan. Namun ia semua bersandarkan kehendak dunia sahaja. 

Untuk itu, Islam adalah jalan tengah dan penyelesaian terbaik. Ia memberikan ruang mencari untung, tetapi dengan amaran azab jika menipu atau menindas, sebagaimana Kaum Madyan. Juga ada sifat membantu menurut peratusan tertentu atas keuntungan iaitu zakat. Zakat ialah sedikit harta orang miskin yang ada bercampur dengan untung si kaya yang wajib dikeluarkan. Akan dapat dunia dan akhirat.

Bezanya hanya sedikit iaitu seperti niat dan beberapa peraturan. Jika ia dipenuhi, maka menjadilah ia sistem Islam. Bandingan lain ialah bernikah. Ada nafsu yang perlu dilayan. Jadi, boleh pilih antara berzina atau nikah. Ada yang menurut jalan zina, selesaikannya, kemudian ulang lagi. Tidak kurang juga ada yang melampau, langsung tidak mahu menikah. Atau berkehendakkan sama sejenis.

Sedangkan dalam Islam, pasangan itu hanya perlukan wali, saksi, ijab dan kabul, maka sahlah sebagai suami isteri walaupun mas kahwin berhutang atau majlisnya ‘koboi’ sahaja. Itu sahaja bezanya, kita sudah selamat dari dosa. Perbuatan lain, sama sahaja dengan si penzina lakukan. Samalah juga seperti hukum-hukum yang lain.

Dan berbangkit pula isu pinjaman tanpa faedah oleh Ketua Penerangan PAS, Ir Khairul Nizam Khirudin sewaktu berkempen dalam PRU14, menggunakan contoh Rashid. Ia sebenarnya bukan angan-angan, malah sudah dilaksanakan oleh Kelantan dan Terengganu dalam memberikan pinjaman tanpa riba kepada rakyat dalam melaksanakan projek. Kakitangan kerajaan di kedua buah negeri ini juga sudah lama menikmati pinjaman tanpa riba. 

Manakala bank-bank pula menjalankan perniagaan secara bayaran ansuran dengan membeli rumah dan menjualkannya semula atas persetujuan. Bukan tiba atas hutang. Yang dikatakan menindas ialah mungkin sesetengah bank patuh syariah bersikap terlalu menekan pelanggan. Ya menindas tidak dibolehkan. Tetapi kezaliman dalam sistem yang patuh syariah kerana sikap manusia, tidak menjadi lesen kepada kita orang Islam untuk meninggalkan terus sistem ini. Lagipun mereka juga terikat dengan peraturan oleh Bank Negara.

Muslim yang jahat, lebih baik dari kafir yang baik kerana iman. Ini kenyataan yang wajib difahami. Maka samalah dengan sistem perbankan ini. Kenapa pula kita harus mengatakan sistem riba lebih baik, sedangkan nyata Allah isytihar perang kepada pengamal riba? Teknikal menzalimi dalam sistem yang ada, kita boleh perbaiki, namun asas sistem, Islam adalah yang paling baik.

Analogi mudah. Bayangkan riba itu adalah sungai yang sangat kotor dan busuk. Kita pula, demi keselamatan, mesti mengharungi sungai. Sungai ini, di tengahnya dalam dan di tepinya tohor. Jadi, mana lebih baik, kita berenang di tengah, atau mengharunginya di tepi-tepi, di tempat cetek, sekadar basah bahagian tertentu sahaja? 

Begitulah misalannya. Kita pada zaman sekarang, tidak akan dapat lari dari riba, hatta debunyapun. Tetapi, kita kena cerdik memilih mana yang sedikit mudaratnya, kalaupun benar kita rasa sistem ini tidak tepat sepenuhnya. Dari semasa ke semasa, kita perbaiki apa yang kurang. Memberikan tekanan supaya sistem yang ada ditambah baik, ianya normal. Tetapi meninggalkan terus sistem yang lebih baik, kemudian terjun terus ke dalam sistem riba yang membinasakan, itu cerdikkah namanya? Cerdik mesti diukur dengan kehendak Islam.

harakahdaily

tanda nama: beza antara Sistem Islam bukan
captcha